Tiga kali di Paris dan satu kali di New York, itulah deretan kejuaraan grand slam yang pernah didakap individu bernama Iga Swiatek. Namun, percubaannya di Melbourne sejak 2019 masih tidak menjadi dengan pencapaian terbaiknya hanyalah sekadar di separuh akhir edisi 2022.

Dan 2024 jadi tahun paling sesuai untuk gadis kelahiran Poland ini untuk menakluki Melbourne, sesuai dengan statusnya selaku pilihan utama kejohanan.

Berdepan Danielle Collins di gelanggang keramat, Rod Laver Arena – Swiatek berjaya kutip mata pertama hasil kemenangan 6-4.

Namun momentum tersebut gagal diteruskan di set kedua menerusi kekalahan 3-6 sebelum peminat tegar Pearl Jam dan AC/DC ini bangkit tampil karakter sebenar menerusi kemenangan set penentuan 6-4 sekaligus sahkan nama di pentas pusingan ketiga.

Perjalanan masih jauh, namun Swiatek perlu berhati-hati dengan sebarang ancaman lebih-lebih lagi kudrat bintang baru seperti Elina Avanesyan yang berjaya mematahkan cabaran pemain pilihan kejohanan.