Pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia, menamatkan cabaran Terbuka Australia selaku juara apabila mengatasi lawan dari Jepun, Kodai Naraoka di Sydney, sebentar tadi.

Zii Jia dipaksa kerah keringat untuk mara ke final ketika berdepan cabaran dari Taiwan, Lee Chia Hao 10-21, 21-15, 21-10 di Sydney semalam.

Bertemu pemain Jepun dan merupakan pilihan kedua kejohanan, Kodai Naraoka, Zii Jia ternyata mahu memastikan pertemuan keenam antara kedua-dua pemain itu memihak dirinya.

Kedua-dua pemain seimbang di awal permainan bagaimanapun Zii Jia berjaya mendahului 11-8, sebelum menoktahkan kemenangan 21-19.

Namun di set kedua tampak menyaksikan sisi Zii Jia yang berlainan pula muncul, menyaksikan Kodai memperoleh kawalan penuh permainan sebelum memastikan perlawanan diheret ke set penentuan dengan kemenangan 21-11.

Segalanya serba tidak menjadi buat Zii Jia dalam set ketiga, apabila permainan pantas wakil Jepun itu memaksa dirinya ketinggalan 0-5 sebelum kembali menemui rentak mengikat kedudukan 7-7.

Zii Jia dan Kodai terus saling meraih mata demi mata sehingga terikat 18-18, sebelum Zii Jia menoktahkan kemenangan 21-18 sekaligus diangkat sebagai juara Terbuka Australia.