Jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak, memberi kata dua buat Pearly Tan-M. Thinaah, jika gandingan beregu di ranking keenam dunia itu mahu mengulangi musim cemerlang pada 2025.

Sekembalinya Rosman mengetuai kem beregu wanita, Pearly-Thinaah mempunyai kerja rumah yang harus dilakukan menjelang Terbuka Malaysia bermula 7 Januari hadapan.

Ianya bukan lagi rahsia, gandingan Pearly-Thinaah memiliki masalah tersendiri di sepanjang tahun 2024.

Pada ketika mereka bebas daripada kecederaan, tiada siapa yang mampu menghalang Pearly-Thinaah mencipta kejayaan seperti di Terbuka Hong Kong.

Disusuli lakaran sejarah muncul beregu wanita pertama negara layak ke separuh akhir Sukan Olimpik.

Namun, Pearly-Thinaah seringkali dilanda variasi kecederaan yang merencatkan persembahan mereka di gelanggang.

Difahamkan, sejak kembali berlatih bersama Rosman pada 5 November lalu — gandingan itu diberi tugasan utama, antaranya untuk membina otot untul kekal cergas dalam jangka masa yang lama.

Pearly ketika ini masih belum pulih daripada masalah kesihatan yang sedikit sebanyak menggangu ritma permainannya ketika tewas awal di peringkat kumpulan Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou.