Bagi bekas perseorangan nombor satu dunia, Roslin Hashim, beranggapan perubahan dalam program latihan mungkin menjadi antara faktor kecederaan bertali arus menimpa kepada pemain di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Menurutnya, nasib pemain kini ibarat telur di hujung tanduk apabila tarikh tamat kelayakkan mata Sukan Olimpik sudah semakin hampir tetapi hanya beberapa pemain sahaja yang sudah menghampiri slot ke Paris.

Pakar perubatan Institut Sukan Malaysia (ISN) yang merawat Ng Tze Yong, Dr Jasmiza Khuzairi, berkata segala cara untuk memulihkan pemain itu giat dilakukan bagi mengembalikannya dalam kondisi terbaik agar tidak terlepas jelajah BWF Eropah.

Namun, mereka harus berpijak pada bumi yang nyata bahawa tidak semua pemain mempunyai respon yang sama terhadap rawatan.

"Mungkin programnya keras tapi ia mengikut kesesuaian kepada badminton sendiri.

"Kalau Datuk Lee Chong Wei boleh, kenapa pemain sekarang tidak boleh tahan.



"Sebagai pemain elit kebangsaan tapi jika fizikal lembik, maka memang cepat (dilanda) kecederaan," katanya di Nadi Arena.

Tambahnya, kemunculan pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2022 itu menentang Singapura dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BTC) adalah satu tindakan yang tidak wajar kerana masih terlalu awal untuk diturunkan.

"Mana-mana pemain yang berasakan hujung-hujung kelayakan ini makin sukar, pasti akan bergelut.

"Mereka perlu berikan saingan hebat menuju Sukan Olimpik.

"Pastinya perancangannya telah dimulakan sejak tiga tahun lalu, tidak mungkin ia dilakukan pada saat-saat akhir," katanya.