Selangor menggunakan peluang untuk terus menguji kemampuan pasukan apabila berjaya melangkah ke final kejohanan jemputan di Jakarta, 'Derbi Serumpun' hasil keputusan 3-2 ke atas Sabah semalam.

Dua gergasi Liga Super antara pasukan jemputan beraksi untuk ke final dan kemenangan memihak skuad kendalian Nidzam Jamil.

Meluahkan keterujaan atas kemenangan semalam, Nidzam mahu memastikan Selangor menggunakan peluang beraksi dalam kejohanan tersebut untuk terus mencari keserasian dalam padang sekaligus meneruskan rentak kemenangan mereka dalam saingan Liga Super sejurus bersambung selepas tamat rehat antarabangsa.

"Selangor menggunakan kesempatan ini untuk menggunakan pemain yang masih berkurangan minit permainan sementara meneruskan rentak kemenangan daripada yang telah dipamerkan dalam saingan liga," kata Nidzam.

"Sabah turun beraksi dengan mentaliti yang sama dengan Selangor namun kami bertuah memastikan jaringan ketiga dalam perlawanan sekaligus mara ke final.

Ditanya mengenai peluang Gergasi Merah mendapatkan khidmat pemain kelahiran Indonesia, Nidzam berkata, "Selangor memiliki kenangan manis bersama pemain kelahiran Indonesia. Pemain-pemain ini yang bermain untuk Selangor telah memberikan impak yang besar kepada pasukan serta buat keputusan perlawanan."

Selangor bakal beraksi di final bertemu Persija Jakarta pada Ahad ini.