Anak-anak buah Azzmi Aziz nampaknya masih lagi sukar untuk menemui rentak permainan yang dikehendaki oleh ketua jurulatihnya itu apabila terus mencatatkan kekalahan dalam kancah Liga Super 2024/25.

Terbaru Negeri Sembilan tewas 0-3 di tangan Kuala Lumpur City iaitu kekalahan ketiga berturut-turut setakat ini.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi, malam duka tuan rumah bermula pada minit ke-28 apabila tandukan padu Brendan Gan menggegar jaring untuk KL City berada di depan 1-0.

Lebih malang buat Negeri Sembilan selepas terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain pada minit ke-52 apabila awang importnya Jacque Faye dilayangkan kad merah selepas melakukan terjehan keras ke atas Zhafri Yahya.

Kesempatan itu terus diambil oleh KL City untuk menghukum kelemahan yang ada dengan giliran Paulo Josue pula meledakan gol kedua KL City pada minit ke-72.

Memasuki dua minit masa tambahan gawang tuan rumah robek lagi buat kali ketiga apabila tandukan S.Sharvin menewaskan Muhamad Aqil Abdul Razak untuk memastikan KL City pulang dengan tiga mata penuh.

Kekalahan ketiga ini menyaksikan Negeri Sembilan kini menghuni tangga tercorot Liga Super di belakang Kelantan Darul Naim dengan sembilan kali dibolosi daripada tiga perlawanan yang diharungi.

Azzmi Aziz yang ditemui media sejurus selepas perlawanan berkata, pasukanya itu perlu melakukan kebangkitan segera andai mahu memastikan masih relevan dalam saingan kancah Liga Super musim ini sekaligus bagi mengelakkan daripada terus tercicir di dasar liga.

Ia memandangkan kekalahan terbaharu itu sebenarnya merupakan kekalahan keempat pasukanya dari dua saingan liga berbeza.

“Ya, pastinya kita amat terdesak selepas mengalami kekalahan empat kali berturut-turut. Tiga (dalam) liga dan satu (dalam) Piala FA. Saya pasti ya bila kita ke Temerloh, memang satu lagi cabaran yang sukar.

“(Sri) Pahang satu pasukan yang bagus tapi apa pun kita kena positif sebab itu saja pilihan yang kita ada sekarang. Jadi, Insya Allah kita akan cuba sebaik mungkin Insya Allah,” Katanya ketika mengulas aksi persembahan anak buanya malam tadi.