Selangor sedang mempertimbangkan langkah seterusnya berhubung denda yang dikeluarkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini.

Penganjur Liga Super itu telah mengambil keputusan terhadap kes ketidakhadiran Selangor ke Perlawanan Sumbangsih yang juga aksi pertama Liga Super pada 10 Mei 2024 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim.

Antaranya denda RM100,000, berdepan pemotongan tiga mata saingan Liga Super 2024-2025 dan bakal bertemu JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya tanpa kehadiran penonton.

Sehubungan itu, Selangor turut telah mengeluarkan kenyataan dan bakal mengambil langkah seterusnya bagi menangani isu tersebut.



"Pihak kelab mengambil maklum akan keputusan Malaysian Football League (MFL) tentang kes ketidakhadiran Selangor ke Perlawanan Sumbangsih yang juga merupakan aksi pertama Liga Super pada 10 Mei lalu," menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Selangor di laman sosial.

"Untuk makluman, pihak Kelab telah memohon penangguhan perlawanan tersebut selepas kes jenayah serangan asid terhadap Faisal Halim pada 5 Mei yang lalu, dan beberapa lagi insiden lain yang melibatkan pemain bola sepak tanah air, namun permohonan tersebut telah ditolak.

"Oleh itu, pihak Kelab sedang meneliti dan mengkaji semua saluran yang bersesuaian untuk mengambil tindakan seterusnya.