Pakar perubatan Institut Sukan Malaysia (ISN) yang merawat Ng Tze Yong, Dr Jasmiza Khuzairi, mendedahkan segala cara demi memulihkan pemain itu sedang giat dilakukan bagi mengembalikannya dalam prestasi terbaik, agar tidak terlepas Jelajah BWF Eropah.

Namun, dia harus berpijak pada bumi yang nyata bahawa tidak semua pemain mempunyai respons yang sama terhadap rawatan.

"Kami telah berikan rawatan terbaik cuma bukan semua pemain memberi tindak balas yang sama terhadap rawatan.

"Saya harap rawatan dan program pemulihan berterusan dan latihan ringan yang telah diubah suai. Kami berharap dia akan kembali perlahan-lahan untuk harungi kejohanan di Eropah," katanya di Nadi Arena.


Tambahnya, kemunculan pemenang pingat emas dalam Sukan Komanwel 2022 itu ketika menentang Singapura dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) adalah satu tindakan yang tidak wajar kerana masih terlalu awal untuk diturunkan ke gelanggang.

"Kami juga jangkakan dia akan kembali berlatih dalam tempoh satu atau dua minggu lagi tanpa sebarang kesakitan," katanya.