Sementara itu, Terengganu meneruskan momentum permulaan baik dengan menewaskan Kelantan Darul Naim 3-0 bagi kemenangan kedua dalam tiga perlawanan pertama.

Ia juga bermakna Terengganu kekal dengan rekod tanpa kalah dan menghimpun tujuh mata daripada tiga perlawanan.

Jurulatih Terengganu, Tomislav Steinbruckner nyata puas hati dengan prestasi anak buahnya.

"Puas hati dengan tiga jaringan walau banyak telah dicipta, tetapi lebih menggembirakan adalah kami bermain dengan baik kali ini.

"Saya akan beri anak buah saya masa berehat (semasa jadual antarabangsa), selepas itu kami akan bekerja lebih keras untuk buat persiapan demi hadapi cabaran akan datang," kata Tomislav.

Dalam perlawanan itu, Terengganu peroleh sepakan penalti pada minit ke-35, selepas Safawi Rasid dikasari di kawasan bahaya dan Ismaheel Akinade menyempurnakan mandatnya untuk terengganu mendahului 1-0.

Sebelum wisel menamatkan babak pertama, Terengganu manfaatkan situasi kucar-kacir di depan gawang Kijang Emas untuk menggandakan kelebihan.

Tuan rumah terus mengasak di babak kedua dan hanya memerlukan dua minit selepas perlawanan bersambung membolosi kubu Kelantan Darul Naim buat kali ketiga.

Kelantan Darul Naim kini tewas kesemua tiga perlawanan pertamanya dan jurulatih skuad Kijang Emas jelas tidak gembira dengan prestasi skuadnya.

"Kami perlu perbaiki banyak benda, dari segi teknik, kami tidak bagus.

"Hari ini, segala pelan yang kami sudah buat tidak menjadi, kami akan cuba untuk buat lebih baik dalam perlawanan akan datang," kata Ketua Jurulatih Kelantan Darul Naim, Park Jae Hong.