SELANGOR 4 NEGERI SEMBILAN 0

Selangor perlu menunggu hampir sejam sebelum berjaya merobek gawang Negeri Sembilan untuk kemenangan bergaya 4-0 di Stadium MPBJ, Kelana Jaya, sebentar tadi.


Taktikal bertahan yang diterapkan skuad Hobin Jang Hobin berhasil setakat babak pertama yang berkesudahan tanpa jaringan pertembungan Liga Super 2024 selain bersandarkan kekebalan penjaga gol pelawat, Aqil Razak.

Begitupun, ia tidak menyekat anak buah Nidzam Jamil untuk terus mengatur asakan.

Malah, Selangor tersentak berikutan Yohandry Orozco menyangka dia sudah memecah kebuntuan perlawanan pada minit ke-47, namun pengadil, Amirul Izwan, selepas meneliti video bantuan pengadil (VAR) memutuskan jaringan itu adalah ofsaid.

Situasi itu sama sekali tidak melemahkan semangat Selangor dan 10 minit kemudian, barulah pemain import dari Chile, Ronnie Hernandez, dapat meleraikan kegusaran kem tuan rumah menerusi sepakan leretnya yang menewaskan Aqil Razak.

Pintu gol skuad Jang kembali dihukum dengan ledakan Noor Al-Rawabdeh pada minit ke-67, Orozco (minit ke-76) dan Reziq Bani Hani (minit ke-90).