Tiga perlawanan, tiga mata dan belum kalah.

PENANG FC kini mungkin layak digelar pakar seri. Selepas tiga perlawanan pertama saingan Liga Super, Penang FC raih tiga mata, jaring satu gol dan bolos satu gol.

Dan menariknya, Penang kini belum kalah untuk bersama-sama dengan pasukan bangsawan JDT, Terengganu, Sabah serta Pahang yang masih kebal setakat ini.

Selepas seri tanpa jaringan dalam dua perlawanan pertamanya menentang Sabah dan Terengganu, pada Sabtu Penang mencatatkan keputusan seri ketiga menentang PDRM yang berkesudahan 1 sama.

Bagi jurulatith Penang, Akmal Rizal Rakhli, walaupun berterusan mencatatkan keputusan seri, ia masih satu perkara positif untuk pasukannya yang masih dalam pembikinan.

"Walaupun tiga kali seri, ia tetap satu keputusan positif, " kata Akmal. Malah tiga keputusan seri yang kami dapat ialah menentang pasukan yang berada di atas kami dalam saingan musim lalu.




"Ketika saya ambil alih pasukan, saya sudah katakan saya mahu bentuk pasukan baru, dengan kombinasi antara pemain senior dan muda. Tapi saya tidak boleh bereksperimen kerana penyokong dan pihak pengurusan mengharapkan keputusan lebih baik.

Dalam perlawanan pada Sabtu, Penang ketinggalan satu kosong kepada jaringan penyerang PDRM, Ifedayo Olusegun pada minit ke-33. Penang bangkit di babak kedua untuk menyamakan kedudukan menerusi Rodrigo Dias pada minit ke-52.

"Saya puas hati dengan aksi pemain saya," kata Akmal Rizal. "Walaupun kami ketinggalan tetapi mereka tidak putus asa, sebaliknya terus memberi tentangan. Tidak dinafikan masa ada beberapa kelemahan yang perlu kita perbaiki."