Ketua jurulatih Kuala Lumpur (KL) City, Miroslav Kuljanac, buntu melihat sesi latihan hari ini dihadiri beberapa pemain sahaja.

Pengendali kelahiran Croatia ini tampak sugul dengan ketiadaan tujuh pemain yang wajib menghadiri kem latihan kebangsaan selain senarai pemain yang berhadapan dengan isu kecederaan.

Kuljanac berpendapat penundaan tarikh untuk pertemuan pertama dengan Kuching City perlu berlaku.

Tarikh perlawanan dengan Kuching City jatuh pada 13 Jun depan, namun pelepasan pemain hanya akan berlaku selepas pertemuan Malaysia bertemu Chinese Taipei pada 11 Jun.





"Kami akan meneruskan persiapan tanpa tujuh pemain dan hanya tinggal 15 pemain skuad utama," katanya di Nadi Arena.

Kuljanac sudah pun menyatakan, kegusarannya itu kepada pihak pengurusan kelab Lembah Klang berkenaan.

Difahamkan pertimbangan daripada pengurusan bakal berlaku sama ada untuk menghantar permohonan rasmi tunda perlawanan atau sebaliknya.

"Seramai enam pemain utama dilanda kecederaan ketika ini dan saya perlu menunggu hingga minggu depan untuk tentukan kedudukan sebenar mereka," katanya.