Team LZJ yang menjadi tulang belakang kepada perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia, dilihat hadir ke Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi mengadakan perbincangan mengenai penyertaan pemain kelahiran Alor Setar, Kedah, dalam Kejohanan Piala Thomas, hujung bulan ini.

Menurut Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, Team LZJ mempunyai perancangan tersendiri dalam memilih kejohanan agar persiapan mampan dapat dilakukan menuju Sukan Olimpik Paris, Julai depan.

"Lee Zii Jia sudah memikirkan tentang Olimpik. Saya faham dia mahu masuk ke ranking lapan teratas.

"Ada beberapa sebab dia memikirkan (penyertaannya) dalam Piala Thomas.

"Dia sudah terbeban dengan banyak kejohanan," katanya.

Tambahnya lagi, kondisi dua pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong dan Justin Hoh, kini semakin baik dengan Tze Yong sudah kembali menjalani sesi latihan mengikut program yang ditetapkan sementara Justin dijangka kembali menggegar gelanggang selepas selepas empat bulan bergelut dengan kecederaan lutut kanan.

"Tze Yong masih berwaspada dalam membuat pergerakan ekstrim. Tapi pergerakan untuk kawalan penuh gelanggang nampak ada kemajuan.

"Justin pula tersisih hampir enam bulan untuk menyertai sebarang kejohanan.

"Dia perlu mendapatkan rentak dalam kejohanan terlebih dahulu," katanya.




Dalam masa sama, Rexy berkata pengunduran beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M. Thinaah, dalam kejohanan Piala Uber sudah mendapat restu daripada pihak pengurusan memandangkan peluang yang dimiliki skuad wanita negara tampak samar.

"Kami bercakap secara realistik," katanya lagi.