Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham bagaikan rugi besar apabila kelab itu sudah tidak mempunyai harga sekiranya beliau mahu menjual pasukan itu.

Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah berkata, kegagalan untuk menyertai mana-mana saingan liga menyebabkan skuad The Red Warriors (TRW) itu sudah tidak bernilai lagi.

Ia sekali gus menyaksikan langkah yang dilakukan Norizam dengan membeli pasukan itu pada tahun 2020 dengan nilai RM6.8 juta bagaikan sia-sia dan perlu melalui perjalanan cukup perit sekiranya mahu menghidupkan kembali pasukan.

"Jika tidak bermain dalam saingan liga memang pasukan itu dah tak ada harga lah. Kalau nak jual sekarang memang tidak ada orang nak beli atau kena lepaskan dengan harga sangat murah.

"Namun, bersediakah Zamsaham nak lepaskan dengan jumlah yang dia akan rugi ditambah lagi dengan pelbagai masalah pasukan yang perlu ditanggung oleh pemilik baharu.

"Pemilik baharu juga kena melalui banyak proses seperti pelesenan dan sebagainya untuk membolehkan Kelantan FC kembali beraksi dan saya fikir tidak ada orang yang sanggup mengambilnya," katanya kepada Sinar.

Sebelum ini, Kelantan FC telah ditendang daripada saingan Liga Super selepas berdepan masalah tunggakan gaji pemain selain kes di Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Kelab itu kemudiannya mengalihkan tumpuan untuk menyertai Liga A1 Semi-Pro dengan pentadbir Liga Bolasepak Amatur (AFL) memberikan syarat untuk Kelantan mendaftarkan minimum 20 pemain.

Namun, skuad Negeri Cik Siti Wan Kembang tersebut gagal untuk memenuhi syarat tersebut sekali gus menyaksikan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman mengumumkan pasukan itu menarik diri daripada saingan liga.

Norizam mengambil keputusan itu untuk terlebih dahulu menyelesaikan kes FIFA selain melunaskan gaji para pemain.

Effendi berkata, Norizam juga berdepan kekangan untuk cuba bangkit melihatkan kepada pelbagai masalah yang perlu diselesaikan terlebih dahulu oleh pasukan itu.

"Kalau ada orang nak beli, jual sajalah. Mungkin ada orang Kelantan yang minat untuk kembali hidupkan Kelantan FC. Namun, Norizam tak boleh nak fikir nak dapat modal kembali atau sebagainya," katanya.-Sinar