Pasangan merpati dua sejoli, Goh Soon Huat-Shevon Lai, mengikuti jejak langkah Chen Tang Jie-Toh Ee Wei selepas menempah slot ke separuh akhir Kejohanan Badminton Final Jelajah Dunia BWF, di Hangzhou, sebentar tadi.

Wakil dari Indonesia itu terlebih dahulu menguasai gelanggang meskipun mendapat tentangan sengit daripada beregu campuran profesional negara, namun kemenangan 21-17 meletakkan mereka di depan di set pertama.

Memasuki set kedua, gandingan di ranking ke-10 dunia itu berhasil menemui rentak permainan untuk melakar kebangkitan dengan kedudukan 14-10.

Soon Huat-Shevon Lai meneruskan kecemerlangan tersebut untuk mengikat kedudukan 1-1 menerusi kemenangan 21-15 di set kedua.

Konsistensi yang dipamerkan pilihan kedua kejohanan itu terus memberi kesukaran kepada pihak lawan apabila menggunakan pengalaman yang dimiliki untuk memisahkan kedudukan 10-6 ketika set penentuan sedang berlangsung.

Perbezaan sebanyak enam mata membawa Soon Huat-Shevon Lai ke separuh akhir selepas berjaya menumpaskan gandingan Indonesia dengan kemenangan 21-14 di set terakhir.