Beregu Wanita negara, Pearly Tan-M.Thinaah, menamatkan kempen Kejohanan Final Jelajah Dunia BWF 2024 tanpa sebarang kemenangan.

Wakil negara di ranking keenam dunia itu tewas dalam saingan hari ketiga peringkat Kumpulan A kepada lawan dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning, dalam aksi rubber set, 9-21,21-18,18-21, di Hangzhou, China, sebentar tadi.

Walaupun wakil negara bergelut dalam set pertama apabila tewas mudah 9-21 dengan beberapa kesilapan mudah, namun mereka berjaya memperkemaskan langkah untuk bangkit dalam set kedua dengan kemenangan 21-18 sekali gus mengheret wakil tuan rumah untuk membuat perhitungan di set penentuan.




Pearly-Thinaah beraksi baik dalam set penetuan dengan tidak membenarkan lawan di ranking pertama dunia itu meninggalkan mereka dengan jurang terlalu jauh.

Begitupun, selepas terikat 14-14, menjadi detik wakil tunggal beregu wanita negara itu terpaksa akur selepas pasukan lawan terlebih dahulu sampai ke mata akhir dan menamatkan cabaran dengan menang 21-18 serta memastikan mereka menutup cabaran di China tanpa sebarang kemenangan.

Sebelum ini mereka tewas dalam aksi pembukaan berdepan lawan dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida, serta turut ditumbangkan lawan di ranking ke-12 dunia dari India, Treesa Jolly-Gayatri Gopichand Pullela.