Empat ayam tambatan negara hanya mempunyai baki sembilan hari lagi sebelum terbang ke bumi Hangzhou, China untuk menghadapi saingan penutup musim, Jelajah Dunia BWF yang dijadualkan bermula pada 13 Disember ini.

Menurut Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky, fokus utama kini sememangnya diletakkan kepada dua pasangan beregu itu yang layak menempatkan diri ke kejohanan berprestij tersebut.

Meskipun kini harapan seluruh rakyat Malaysia terletak di atas bahu Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, namun Rexy percaya bahawa anak buahnya mampu mengatasi tekanan dan melunaskan tanggungjawab dengan sempurna.

"Setiap pemain telah menjalani persiapan yang terbaik menjelang saingan di Hangzhou. Mereka telah menganalisa corak permainan lawan," kata Rexy menerusi Nadi Arena.

Dalam masa sama, perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong yang baru memulakan sesi latihan hari pertama yakin sinar harapan buatnya untuk melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024 masih jelas kelihatan berdasarkan ranking yang dihuni ketika ini.

"Saya baru sahaja kembali berlatih, fokus saya adalah memastikan slot ke Sukan Olimpik sekaligus mahu memastikan mempamerkan keputusan yang baik setiap kali menghadapi kejohanan."