Ketua jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente, melabelkan jaringan Lamine Yamal sebagai satu 'sentuhan genius' selepas pasukannya menumbangkan Perancis 2-1 dalam separuh akhir Euro 2024 di Munich awal pagi tadi.

Pasukan bimbingan De la Fuente itu bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menempah tempat dalam aksi final di Berlin hujung minggu ini dengan Yamal memulakan kebangkitan itu dengan jaringan gemilangnya dari luar kotak penalti.

Pemain berusia 16 tahun itu menjadi pemain termuda menjaringkan gol dalam kejohanan utama, sekali gus memadamkan rekod lama yang dipegang legenda Brazil, Pele, ketika menentang Wales dalam Piala Dunia 1958.

"Kita semua kenal siapa dia. Kami perlu menjaganya," kata De la Fuente.

"Saya mahu dia terus rendah diri, kekal berpijak di bumi untuk terus meningkat, belajar dengan sikap dan profesionalisme yang sama, kematangan yang telah ditunjukkannya di atas padang.

"Sejujurnya dia kelihatan seperti pemain yang jauh lebih berpengalaman tetapi secara dasarnya, saya gembira dia berada dalam pasukan kami, gembira dia seorang warga Sepanyol dan kami berharap kepadanya dan harap-harap kami akan dapat terus menikmati aksinya untuk tahun-tahun mendatang."