WOLVES 2 CHELSEA 6

Perlawanan minggu kedua Liga Perdana Inggeris (EPL) menyaksikan Chelsea bangkit daripada kekalahan lalu kepada juara Perisai Komuniti, Manchester City, untuk memalukan Wolverhampton Wanderers 2-6 di Stadium Molineux, sebentar tadi.


Seawal minit kedua, Nicolas Jackson membuka akaun jaringan musim ini susulan tandukan derasnya membolosi gawang Wolves menerusi hantaran sudut oleh pemain kebangsaan Argentina, Enzo Fernandez.

Matheus Cunha pantas menyamakan kedudukan pada minit ke-27 apabila tenang menampan bola hantaran daripada pertahanan kiri, Ait Nouri.

Pemain muda sensasi, Cole Palmer, menggandakan kelebihan buat pasukan pelawat yang melemaskan penjaga gol, Jose Sa, sebelum Jorgen Strand Larsen menyamakan kembali kedudukan sekali gus terikat 2-2 menuju bilik persalinan.


Memasuki babak kedua permainan, giliran Noni Madueke pula terus memberi tekanan buat skuad kendalian Gary O'Neil dengan sepakan derasnya menembusi gawang Wolves.

Tidak terhenti di situ, Madueke menjadi pemain kedua selepas Erling Haaland menempa nama sebagai penjaring hatrik musim 2024/25 yang menggamatkan suasana di venue sekali gus menghentikan peluang Wolves untuk peroleh keputusan yang sepatutnya.

Sebelum tamat aksi, pemain baru The Blues, Joao Felix, menambah derita Wolves bagi gol keenam seterusnya menutup cerita perlawanan dengan Chelsea berjaya membawa pulang tiga mata penuh ke Stamford Bridge.