Bekas perseorangan lelaki nombor satu dunia, Roslin Hashim, berkata sasaran yang diletakkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk skuad lelaki negara layak ke separuh akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Shah Alam bermula Selasa ini sebagai sesuatu yang tidak relevan.

Menurutnya, ini kerana skuad lelaki negara akan turun sebagai juara bertahan selepas menjuarai edisi juga di gelanggang sendiri dua tahu lalu.

Tambahnya, Malaysia perlu meletakkan sasaran ke final seandainya mahu kekal sebagai kuasa besar badminton dunia.

"Kalau kita lihat, sasarannya ke separuh akhir tetapi bagi saya, sasaran itu macam tak relevan kerana kita juara bertahan dan bermain pula di laman sendiri," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fatin Ruzaiman.

"Kemudian, kita juga boleh dikatakan menurunkan pasukan penuh dengan pemain senior.

"Sepatutnya sasarannya perlu ke final kerana kalau kita lihat, pasukan lain tidak menggunakan skuad penuh," katanya.

Sebagai rekod, skuad lelaki negara diundi dalam Kumpulan B bersama Chinese Taipei, Kazakhstan dan Brunei.