Beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah, akan berlatih dengan beregu lelaki Indonesia bagi menyemarakkan permulaan musim 2024 buat mereka, yang ketika ini kelihatan agak hambar.

Pencapaian terbaik Pearly dan Thinaah sepanjang tiga kejohanan pertama musim ini hanya layak ke peringkat suku akhir -- keputusan yang jauh daripada apa yang diidamkan mereka memandang hanya tinggal lima bulan sebelum Sukan Olimpik Paris 2024.

Menyedari kebimbangan itu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil keputusan untuk memanggil beregu lelaki Indonesia, Ade Yusof-Gerardo Rizqullah, untuk berlatih dengan mereka selama sebulan di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

"Kami perlu meningkatkan kualiti sparring mereka dalam sesi latihan, dan oleh kerana itu, kami telah memutuskan untuk membawa masuk beregu lelaki Indonesia. Pasangan ini akan membantu mereka sehingga mereka berlepas ke Eropah, dan selepas mereka pulang pasangan lain akan datang.

"Dua rakan sparring ini akan melaksanakan apa yang saya mahu lihat di gelanggang. Kita perlu menjadikan mereka lebih agresif. Jurang antara Pearly-Thinaah dan pasangan beregu wanita kami yang lain agak jauh, selain Indonesia mempunyai ramai pemain bebas yang bagus dan muda. Itu sebabnya kami mendatangkan mereka,” kata pengarah kejurulatihan ABM, Rexy Mainaky.

Pearly dan Thinaah akan berdepan tugas besar bulan ini, di mana mereka akan membarisi skuad wanita negara dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Selangor minggu depan.

Sebagai rekod, skuad wanita negara diletakkan sekumpulan dengan Thailand dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam BATC.