Piala Uber edisi kali ini melabuhkan tirai dengan tuah rumah, China, muncul juara dengan menewaskan Indonesia 3-0 di Chengdu, sebentar tadi.

Pemain perseorangan utama China, Chen Yu Fei, terlebih dahulu meletakkan China di depan dengan menewaskan perseorangan utama Indonesia, Gregoria Mariska Tunjung, 21-7, 21-16 sebelum beregu wanita, Chen Qingchen-Jia Yifan, memastikan China selesa mendahului kedudukan 2-0 dengan mengalahkan Siti Fadia Silva Ramadhanti-Ribka Sugiarto 21-11, 21-8.

Pasukan Naga Merah itu menjulang trofi selepas perlawanan ketiga, yang menyaksikan perseorangan kedua, He Bing Jiao, mengetepikan cabaran pemain berusia 21 tahun, Ester Nurumi Tri Wardoyo 10-21, 21-15, 21-17 dalam tempoh 69 minit.

China merangkul piala berprestij itu buat kali ke-16 sejak kali pertama dipertandingkan pada tahun 1957.