Perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia, gagal membutirkan mata pertama negara apabila tewas secara set langsung kepada pemain nombor dua dunia dari China, Shi Yuqi, dalam perlawanan separuh akhir Piala Thomas di Chengdu sebentar tadi.

Zii Jia mempamerkan aksi menarik dalam set pertama dengan saling berkejaran mata dengan Yuqi, bahkan pernah mendahului 13-11.

Bagaimanapun, menuju ke penghujung aksi, dia seakan-akan kehilangan rentak sebelum akur tewas 19-21.

Aksi dalam set kedua jelas menjadi milik Yuqi, di mana jaguh tuan rumah itu jauh mendahului 11-1 dan selepas itu, dia menamatkan pertarungan selama 38 minit itu dengan kemenangan 21-5 untuk memberikan China mata pertama.

Malaysia seterusnya perlu bergantung harap kepada beregu utama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang akan berdepan beregu nombor satu dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang, sebentar lagi.