Gandingan beregu wanita utama negara, Pearly Tan dan M. Thinaah, meletakkan harapan untuk bebas kecederaan apabila gelanggang Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia menyingkap tirai pada Selasa.

Malah, Pearly yang pernah mengalami kecederaan termasuk kecederaan bahagian belakang sebelum ini mahu memulakan musim baharu dengan rentak positif bagi memburu mata untuk kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024.

Katanya, dia dan Thinaah yang teruja untuk menampilkan persembahan bertenaga berharap dapat berikan aksi terbaik dan saling menyokong antara satu sama lain.

“Setakat ini kondisi tubuh semakin baik dan membuatkan saya lebih yakin. Tetapi sudah tentu saya memerlukan lebih banyak buat senaman atau latihan untuk kekalkan kecergasan badan supaya dapat bermain lebih bagus.

“Cuma saya berharap bebas dari sebarang kecederaan dan boleh fokus dan mahu ‘enjoy’ dalam perlawanan,” kata Pearly kepada pemberita ketika ditemui selepas menguji gelanggang kejohanan di Axiata Arena pada Isnin.

Edisi 2023, Pearly-Thinaah tewas kepada pasangan adik beradik Bulgaria, Gabriela dan Stefani Stoeva, 19-21, 14-21 pada pusingan pertama di Axiata Arena, Bukit Jalil dalam masa 31 minit.

Sementara itu, nada sama juga disuarakan Thinaah yang mahu mengelakkan diri daripada mengalami kecederaan seperti sebelum ini.

"Saya rasa segalanya baik untuk kami, dan kami gembira bermain di tanah air. Harap dapat memberikan persembahan yang baik dan saling memberi motivasi serta sokongan kepada satu sama lain.

"Bagi musim 2024 ini, saya rasa kami hanya mahu fokus perlawanan demi perlawanan. Kami tidak mahu terlalu jauh merancang, hanya mahu fokus pada setiap mata,” ujarnya.

Pearly-Thinaah berstatus nombor 12 dunia akan berdepan gandingan ranking kelapan dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning.-Sinar Harian