Pusingan kedua Kejohanan Badminton Remaja NCT berlangsung dengan jayanya di Kuantan dengan penglibatan lebih 500 pemain muda berusia sembilan hingga 15 tahun, yang tidak mahu ketinggalan merebut peluang keemasan untuk mempamerkan bakat mereka.

Pemain dari Pantai Timur kali ini juga menyerlah setelah dua hari pertandingan.

Peserta yang menduduki empat tangga teratas daripada pusingan ini layak secara automatik ke pusingan Grand Final di Kuala Lumpur pada Jun depan.

Juara keseluruhan bagi setiap kategori B-15 pula dijanjikan tiket ke Paris bagi menyaksikan Sukan Olimpik 2024 pada Ogos depan.

Kejohanan Badminton Remaja NCT adalah sebuah inisiatif oleh Kumpulan Koh Yu Hin (NCT Alliance Berhad) dan Kelab Badminton Petaling (Petaling BC) untuk membangunkan juara-juara masa hadapan.

Selepas Kuantan, kejohanan ini akan ke Selangor untuk pusingan ketiga pada 8-10 Mac ini, yang dijangka akan menarik penyertaan terbesar.

Selepas Selangor, pusingan keempat pula akan diadakan di Sabah pada 19-21 April depan -- satu-satunya pusingan yang diadakan di Malaysia Timur.