Perseorangan pelapis wanita negara, Ong Xin Yee, tenggelam dengan ketangkasan lawan dari Jepun, Akari Kurihara, gara-gara kecederaan pinggul sebelah kanan selain hamstring yang menjadi puncanya tumpas 21-17 19-21 4-21.

Bagaimanapun, Xin Yee enggan menjadikan ia sebagai alasan tersingkir dalam Kejohanan Badminton Malaysia Super 100 itu di Stadium Juara, Bukit Kiara, malah melabel lawannya tampil lebih baik daripadanya dalam pertarungan suku akhir hari ini.

Biarpun tidak berada di tahap fizikal terbaik, namun dia harus diberi pujian kerana menampilkan semangat kesukanan yang tinggi apabila turut beraksi dalam suku akhir acara beregu wanita bersama Carmen Ting, malam ini.

"Saya tidak banyak fikiran memandangkan ranking lawan lebih tinggi saya berpesan kepada diri sendiri untuk berjuang satu persatu set. Jadi saya hanya menikmati perlawanan .

"Selepas tamat set kedua, saya mula terasa sakit di bahagian belakang. Malah, dengan kesakitan kaki, saya tetap berusaha keras kerana ia bukanlah satu alasan.

"Saya tetap main berdasarkan keupayaan yang ada," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.