Beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M. Thinaah, dipaksa berhempas pulas sebelum mengesahkan tempat dalam suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Denmark di Odense awal pagi tadi.

Berdepan lawan bukan pilihan dari Korea Selatan, Lee Yu Lim-Shin Seung Chan, gandingan negara itu ketinggalan sejak awal set pertama dan biarpun bangkit mengikat kedudukan 20-20, mereka kemudian melepaskan dua mata terakhir untuk membenarkan lawan menang 22-20.

Aksi dalam set kedua juga hampir berkesudahan sama tetapi ketika ketinggalan 10-16, Pearly dan Thinaah meraih lapan mata berturut-turut untuk mendahului 18-16 sebelum mencatatkan kemenangan 21-18 bagi mengheret permainan ke set penentuan.

Kali ini, beregu pilihan kelima berkenaan menguasai set ketiga sejak dari awal, namun ketika mendahului 17-9, mereka membenarkan lawan memperoleh tujuh mata berturut-turut ke kedudukan 16-17 sebelum meraih empat mata terakhir bagi mengesahkan tempat ke suku akhir dengan kemenangan 21-16 selepas secara keseluruhan bertarung selama sejam dan 10 minit.

Mereka seterusnya akan bertemu beregu pilihan keempat dari Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi, bagi penentuan ke separuh akhir hari ini.