Pengarah Kejurulatih Kebangsan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky mahu pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia lebih fokus dan kurangkan kesilapan.

Ini selepas Aaron bersama gandingannya Soh Wooi Yik tersingkir di pusingan 16 terakhir Masters China selepas tewas pertarungan sengit tiga set menentang gandingan tuan rumah, He Ji Ting / Ren Xiang pada Khamis.





"Prestasi Aaron / Wooi Yik cukup baik," kata Rexy kepada Stadium Astro. "Hanya Aaron perlu fokus lebih baik lagi untuk tidak banyak buat kesilapan yang mudah."

Dalam pertarungan tiga set berlanjutan selama satu jam 15 minit itu, Aaron tewas dalam perlawanan sengit dengan keputusan 25-27, 21-18 dan 17-21.

Aaron / Wooi Yik akan beraksi dalam kejohanan penutup musim badminton dalam kejohanan Jelajah Dunia BWF yang akan berlangsung bulan depan.

Mengenai prestasi pemain negara yang lain Rexy berkata masih banyak yang perlu dilakukan.

"Pemain negara yang lain perlu lebih banyak fokuskan latihan kepada fizikal dan kekuatan,' katanya.

Mengenai prestasi beregu wanita negara Pearly Tan / M Thinaah yang dikatakan langsung tidak berkomunikasi di atas gelanggan, Rexy enggan memberikan sebarang ulasan.