Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Abdul Rashid Yaakub, menganggap pertambahan atlet ke Sukan Olimpik Paris 2024 bulan depan sebagai petanda positif buat kontinjen negara.

Ia bagi memastikan kilauan pingat, terutama emas sulung negara, mampu dijelmakan di bumi Paris setelah pemain golf profesional, Gavin Green, menjadi atlet terbaru layak ke temasya sukan terbesar dunia itu.

Gavin menempatkan dirinya dalam kelompok 60 pemain terbaik menjelang tarikh akhir kelayakan semalam, di mana dia menduduki tempat ke-53.

"MSN selaku badan yang menjaga program atlet bersama persatuan, sudah pasti amat gembira," kata Abdul Rashid kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

"Cuma yang penting sekarang ini, kami harap atlet-atlet dapat menunjukkan prestasi terbaik mereka semasa di Paris nanti.

"Bagi pasukan (memanah) recurve wanita, ini merupakan kali pertama mereka bukan sahaja berjaya (layak) dalam acara berpasukan, malah dalam acara individu menerusi Ariana (Nur Dania Zairi).

"Jadi, jumlah atlet yang layak kini sudah mencecah 21 orang dan mungkin akan ada lima atau enam orang lagi akan layak dalam tempoh seminggu atau dua minggu ini," katanya.