Pencarian jaguh golf dalam Kejohanan Masters PKNS Selangor akhirnya terlerai dalam saingan hari keempat hari ini.

Pemain India, Rahil Gangjee, dinobatkan sebagai juara keseluruhan selepas melakukan 272 pukulan lapan di bawah par, sekali gus meninggalkan pencabar terdekat, Deyen Lawson, dengan perbezaan satu pukulan.

Rahil berasakan kemenangan itu terhasil selepas dia dapat beraksi secara konsisten dalam beberapa kejohanan sebelum ini, sambil mengakui kelebihannya dalam kejohanan kali ini ada pada ketepatan pukulannya.

"Ia sudah lama, kali terakhir saya menang ialah dalam kejohanan di Jepun pada 2018," katanya kepada wartawan Astro Arena, Syifa Nasir.

"Ia sesuatu yang besar untuk memenangi kejohanan ini. Kami lakukan banyak usaha walaupun hanya sata kemenangan sepanjang beberapa tahun ini dan ramai tidak menyedarinya."

Dalam pada itu, pemain negara, Marcus Lim, menamatkan saingan di tempat ketiga dengan 274 pukulan enam di bawah par, sekali gus membawa pulang hadiah kemenangan RM10,000 selaku pemenang Anugerah Pemain Profesional Terbaik Tempatan.

"Ia merupakan acara profesional pertama saya dan amat jelas ia satu permulaan yang amat-amat baik.

"Saya gembira dengan cara saya bermula dan mahu meneruskannya," katanya.