Penyerang berbisa Johor Darul Ta'zim (JDT), Bergson Da Silva, positif dalam memulakan tahun 2025 selepas memacu kemenangan Harimau Selatan menewaskan Sabah 4-0 di Stadium Sultan Ibrahim, kelmarin.

Dia menjaringkan dua gol dalam aksi minggu ke-17 Liga Super 2024/25 itu sekali gus meneruskan rekod 77 perlawanan tanpa kalah JDT dalam saingan liga.

Kemenangan besar itu menyaksikan kedudukan skuad kendalian Hector Bidoglio terus unggul di persada Liga Super dengan 49 mata selepas 17 perlawanan.

"Hi semua, Assalamualaikum, kami memulakan tahun 2025 dengan mentaliti dan sikap yang sama, kami perlu teruskan momentum dan bersedia untuk cabaran seterusnya.

"Terima kasih atas sokongan anda semua, tiga mata lagi hari ini (kelmarin). Luaskan kuasamu Johor." katanya dalam satu perkongsian di laman Facebook JDT.