Atlet berbasikal remaja negara, Nur Alyssa Farid, yang kembali pulih daripada kecederaan tampil menjadi pencabar utama kepada barisan senior dalam acara keirin di Velodrom Nasional, Nilai, sebentar tadi.

Dia -- yang menamatkan perlumbaan elit Kejohanan YSD Track Series 13 dan 14 itu di tempat ketiga -- mula mengalihkan fokusnya untuk mengubati kekecewaan prestasi keseluruhannya tahun ini.

Menurut Nur Alyssa, dia juga berbangga kehebatannya sudah mampu mengejar rentak barisan senior selain mengharapkan rezeki ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

"Dapat bersaing dengan Olimpian negara, Nurul Izzah Izzati Asri, walaupun tidak mempunyai latihan yang cukup tetapi saya mampu mempamerkan prestasi yang tinggi.

"Selepas kejohanan lalu, saya berehat dalam masa dua minggu kerana mengalami kecederaan dan secara perlahan-lahan memulakan latihan ringan.



"Sekarang masalah sakit belakang membelenggu diri saya lebih-lebih lagi ketika menggunakan gear berat.

"Saya tidak mahu terlebih yakin di samping ingin memberikan cabaran kepada Izzah Izzati supaya satu hari nanti boleh mengikuti jejak langkahnya," katanya kepada Nadi Weekend.​