JUVENTUS 1 NANTES 1

Juventus mendominasi keseluruhan permainan tetapi terikat 1-1 dengan Nantes apabila Ludavic Blas menjaringkan gol penyamaan dalam babak kedua perlawanan playoff pusingan kalah mati Liga Europa (UEL) itu di Stadium Allianz awal pagi tadi.

Pasukan bimbingan Massimiliano Allegri itu terjerumus ke kejohanan berkenaan selepas tersingkir daripada Liga Juara-Juara Eropah (UCL), di mana mereka menamatkan saingan Kumpulan H di tempat ketiga.

Dusan Vlahovic menolak masuk jaringan pembukaan tuan rumah seawal minit ke-13 tetapi Blas kemudian menyempurnakan satu gerakan serangan balas untuk menjaringkan gol penyamaan buat Nantes pada minit ke-60.

Kekecawaan berganda menimpa Juve apabila semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati bola tidak terkena tangan Andrei Girotto pada minit-minit terakhir perlawanan itu, sekali gus gagal mendapatkan sepakan penalti.

Keputusan itu menyaksikan penentuan untuk ke pusingan 16 berkenaan akan ditentukan dalam perlawanan timbal balik di Stadium Beaujoire minggu depan.