Meskipun turun dalam keadaan serba kekurangan ekoran kecederaan pemain utama seperti Safuwan Baharudin, Noor Al-Rawabdeh, Alvin Fortes serta lain-lain, Selangor tetap mempamerkan aksi meyakinkan sepanjang 90 minit permainan.

Namun, di sebalik kecemerlangan tersebut, skuad kendalian Nidzam Jamil terpaksa melupakan khidmat pemain penting, Yohandry Orozco, pada aksi seterusnya apabila dia dilayangkan kad merah pada penghujung perlawanan akibat mengutip dua kad kuning.

"Titik perubahan perlawanan malam tadi ialah kemasukan pemain gantian dalam tempoh mencabar yang berjaya mengekalkan keputusan selain mencipta beberapa peluang terbaik demi menambah jaringan dan saya sangat gembira dengan mereka.

"Kepada semua pemain, mereka sememangnya layak meraih kemenangan kerana sudah bekerja keras sebelum ini meskipun menghadapi rintangan kehilangan pemain penting," katanya selepas perlawanan semalam.

Sementara itu, ketua jurulatih pasukan pelawat, Kim Do-heon, meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pemain The Red Giants yang kerap melengahkan masa sambil menegaskan taktik itu tidak akan memajukan bola sepak Malaysia.

"Situasi bola mati daripada pasukan tuan rumah membunuh kami apabila melepaskan jaringan dan kami kecewa dengannya meskipun kami mendominasi permainan dan bermain dengan baik.

"Kami akan berjumpa semula di tempat sendiri dan kami mahu membalas dendam dan menewaskan mereka.

"Berkenaan pemain Selangor yang sering membazir waktu terutamya ketika sedang mendahului, saya percaya ia perlu diubah kerana ia mencerminkan bola sepak Malaysia secara amnya," luahnya.