MANCHESTER CITY 4 SLOVAN BRATISLAVA 0

Pemenang 2023 juga prospek juara Liga Juara-Juara, Manchester City mula mendapatkan rentak kemenangan apabila membelasah kelab Slovakia, Slovan Bratislava, 4-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Tehelne Pole, Bratislava.

The Citizens asuhan Pep Guardiola sebelum ini menyingkap saingan Liga Juara-Juara dengan keputusan seri 0-0 ketika melayan kunjungan gergasi Serie A, Inter Milan di Stadium Etihad pada 19 September lalu.

Namun rentak kemenangan liga yang disentap ketika diikat Newcastle United, 1-1 di Stadium St James's Park pada 28 September lalu, dinyalakan semula Ilkay Gundogan (m-8) gol pertama bersama The Citizens sejak kembali daripada gergasi La Liga, Barcelona diikuti sentuhan Phil Foden dengan jaringan minit ke-15,

Erling Haaland kemudian menjelmakan gol ke-42 bagi penampilan ke-41 dalam kejuaraan berprestasi tinggi kelab Eropah itu (m-58), sebelum pemain gantian yang juga bintang akademi berusia 21 tahun, James McAtee (m-74) memadam sebarang petanda kebangkitan anak buah Vladimír Weiss.

Sementara itu, Guardiola mengakui gembira dengan tiga mata pertama The Citizens selepas terikat menentang Inter Milan sebelum ini.

“Tiga mata dijelmakan sekumpulan pemain hebat, kami bermain dengan baik, banyak peluang dan tiga mata pertama Liga Juara-Juara.

"Saya tidak memikirkan (perbezaan gol), memenangi perlawanan ini sudah memadai. Hari ini kemenangan pertama untuk (naik) kedudukan lebih tinggi sedikit, jadi ia bagus," kata Guardiola.

Manchester City selepas ini akan melayan kunjungan Fulham di Stadium Etihad pada 5 Oktober. - Sinar