MANCHESTER CITY 2 WATFORD 1

Gol pertama Matheus Nunes bersama Manchester City membawa pasukan bimbingan Pep Guardiola itu ke pusingan keempat Piala Liga Inggeris (EFL) dengan menewaskan Watford 2-1 di Stadium Etihad awal pagi tadi.

Tom Ince membuatkan kem tuan rumah resah dengan jaringannya menuju ke penghujung perlawanan tetapi Watford, yang beraksi dalam Liga Kejuaraan, tidak dapat menemui gol penyamaan untuk mengheret pemainan ke penentuan sepakan penalti.

City bermula pantas apabila Jack Grealish memanfaatkan kesilapan pertahanan lawan untuk melakukan umpanan yang disudahkan Jeremy Doku seawal minit kelima.

Kwadwo Baah kemudian menyangkakan dia berhasil menyamakan kedudukan pada minit ke-21 sebelum jaringan itu dibatalkan ekoran kekasarannya ke atas Kaden Braithwaite.

Tidak lama selepas itu, Rico Lewis memecahkan pertahanan Watford dengan larian pantasnya sebelum melakukan lorongan menemui Nunes, yang melakukan percubaan leret melepasi kawalan Jonathan Bond untuk menggandakan kelebihan City.

Ince melakukan penyudah lencong mengatasi Stefan Ortega tetapi pelawat kemudian tidak lagi dapat menggugat gawang City sehingga ke wisel penamat.