UNION BERLIN 0 NAPOLI 1

Rudi Garcia memuji Napoli kerana mengambil satu-satunya peluang terhidang mereka dalam kemenangan Liga Juara-Juara (UCL) yang tidak memberangsangkan ke atas Union Berlin.


Giacomo Raspadori menjaringkan gol tunggal permainan selepas gerakan menarik yang dijanakan oleh pemain terbaik perlawanan, Khvicha Kvaratskhelia, yang menyaksikan seteru Bundesliga itu lebih menonjol di Olympiastadion.

Pengurus Napoli itu memberitahu laman sesawang kelab: “Kami menang dengan kemarahan, kesabaran, keinginan untuk menang dan juga kecerdasan.

“Sebelum bermula, kami sedar bahawa kami akan menghadapi perlawanan yang rumit. Tetapi kami kekal tenang, kami tidak pernah mengalami sebarang bahaya namun memang benar kami kurang mencipta peluang dalam separuh masa pertama, begitu juga disebabkan kesukaran beraksi di atas padang ini.




“Dalam babak kedua pula, menerusi kesabaran dan kepintaran kami akhirnya menemui sentuhan penyudah. Prestasi Kvara dan Raspa memang cantik dari sudut teknikal. Satu gol indah yang saya gemari termasuk gerakan itu sekali.

“Kami merupakan sebuah pasukan yang tahu bagaimana untuk beraksi tetapi juga tahu bagaimana untuk berlari dan melawan. Ini adalah ciri-ciri utama yang kami harus ada demi meneruskan pengembaraan kami.”

Napoli menduduki tempat kedua dalam Kumpulan C dan Kvaratskhelia memberitahu uefa.com: “Kumpulan ini kelihatan baik tetapi kami perlu fokus kepada perlawanan lain dan cuba memenanginya.

“Terima kasih kerana memilih saya sebagai pemain terbaik perlawanan hari ini tetapi rakan-rakan lain juga sangat penting dan lain kali mungkin orang lain yang akan memenanginya.”