Beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M. Thinaah, bergelar naib juara Kejohanan Badminton Terbuka Finland apabila tewas kepada gandingan pilihan utama dari China, Liu Shang Shu-Tan Ning, di Vantaa sebentar tadi.

Turun selaku pilihan ketiga, Pearly dan Thinaah pada awalnya dapat menyaingi rentak lawan tetapi selepas terikat 10-10, prestasi mereka mula kendur untuk tewas mudah 12-21 dalam set pertama.

Gandingan negara itu beraksi lebih baik dalam set kedua untuk mendahului pada awal saingan tetapi perlawanan kian sengit pada pertengahn set itu sebelum masalah dalam set terdahulu berulang, di mana siri kesilapan mudah dilakukan Pearly dan Thinaah untuk akur dengan kekalahan 17-21 selepas secara keseluruhan bertarung selama hampir sejam.

Sebagai rekod, beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, muncul juara dengan menewaskan beregu pilihan kedua dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skarup Rasmussen, dalam perlawanan terdahulu.