Beregu bawah 19 tahun wanita negara, Low Zi Yu-Dania Sofea Zaidi menamatkan cabaran Kejohanan Badminton Remaja Dunia selaku naib juara apabila tewas kepada pilihan keempat, Ririna Hiramoto-Aya Tamaki.

Set pertama bermula sengit dengan hanya satu atau dua mata memisahkan kedua-dua pasangan.

Bagaimanapun, penguasaan gelanggang yang lebih terkawal menyaksikan gandingan Jepun itu yang meraih kejayaan awal menerusi keputusan 21-17.

Dania-Zi yu nampak seakan berjaya menemui rentak mereka semula di set kedua apabila membuka jurang 5 mata untuk mendahului 6-1.

Bagaimanapun, gandingan Jepun itu berjaya mengejar permainan sehingga mengikat perlawanan 14-14.

Wakil negara yang mengejutkan pilihan utama kejohanan itu terpaksa berdepan situasi sukar apabila Dania mengalami sedikit kecederaan ia ternyata menggugat momentum gandingan negara yang akhirnya terpaksa akur 21-17 kepada lawan mereka.

Untuk rekod, kejayaan mereka meraih pingat perak mengulangi pencapaian Pearly Tan-Toh Ee Wei pada edisi 2018.