REAL MADRID 2 ATALANTA 0

Kylian Mbappe memulakan kerjayanya di Real Madrid dengan satu gol ketika Los Blancos menewaskan juara Liga Europa, Atalanta, 2-0 di Warsaw awal pagi tadi .

Ia menyaksikan pasukan bimbingan Carlo Ancelotti itu memecahkan rekod dengan kejuaraan keenam Piala Super UEFA.

Mbappe merembat ke penjuru kanan atas gawang lawan hasil bantuan Jude Bellingham untuk memastikan kemenangan berpihak juara Liga Juara-Juara Eropah (UCL) itu pada 68 minit -- sembilan minit selepas Federico Valverde membuka jaringan.

Dengan jaringan itu, Mbappe menjadi pemain Madrid pertama menjaringkan gol dalam penampilan sulung aksi kompetitif untuk kelab itu sejak Bellingham melakukan perkara sama ketika menentang Athletic Bilbao 12 bulan lalu.

Dia juga menjadi pemain pertama melakukannya dalam Piala Super sejak Marco Asensio melakukan perkara sama ketika menentang Sevilla pada 2016.