Pengendali Kedah Darul Aman (KDA), Nafuzi Zain, memuji kelabnya kerana berjaya mencatatkan kemenangan besar 5-0 ke atas Bukit Tambun (BT) FC pada pusingan 16 Piala FA 2024-2025 di Stadium Darul Aman pada malam Jumaat.

Menurutnya, biarpun lawan adalah kelab daripada Liga A1 Semi Pro, namun Sang Kenari tidak memandang rendah keupayaan dan menurunkan pemain utama dalam memastikan usaha mara ke suku akhir tercapai.

"Paling penting adalah kemenangan. Tidak kira dengan siapa kita berjumpa, yang penting malam ini kita layak.

"Kita juga lebih kepada menyerang untuk mencari gol dengan memberikan peluang kepada dua penyerang kita untuk bermain bersama buat pertama kali," katanya pada sidang akhbar di Stadium Darul Aman semalam.

Jelas Nafuzi, percubaan untuk menurunkan dua penyerangnya iaitu Milos Gordic dan Ebenezer Assifuah adalah untuk meningkatkan keyakinan dan keserasian yang lebih baik dalam pasukan.

Menurutnya, corak permainan Sang Kenari masih perlu dipertingkatkan lagi namun secara keseluruhan beliau percaya mampu menghasilkan lebih banyak gol lagi jika peluang yang terhidang dapat dimanfaatkan dengan lebih baik.

"Apa yang penting adalah cara persembahan kita bermain kerana bertemu dengan mana-mana pasukan pun, itulah persembahan yang kita akan tunjukkan," ujar beliau lagi.

Pada perlawanan tersebut, penampilan penyerang Sang Kenari dari Ghana, Ebenezer Assifuah menjadi perhatian penyokong tuan rumah apabila berjaya meledakkan hatrik pada perlawanan kalah mati tersebut.

Pemain import tersebut menjaringkan gol pada minit ke-39, 68 dan 79 bagi menceriakan penyokong tuan rumah.

Dua lagi gol KDA diperoleh menerusi Milos Gordic seawal minit ke-15 dan Amirul Hisyam Awang Kechik pada minit ke-20.

Sang Kenari seterusnya akan bertemu jiran setempat, Penang pada suku akhir yang sebelum itu berjaya menewaskan Sri Pahang 4-3 dalam penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1 pada masa sebenar.-Sinar