Watford telah membatalkan hasrat untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan kebangsaan Qatar berikutan aduan daripada kumpulan penyokong yang bimbang tentang rekod hak asasi manusia negara itu.

Pasukan Kejuaraan itu yang tersingkir dari Liga Perdana Inggeris (EPL) pada bulan lalu dijangka menentang Qatar ketika kem latihan pra-musim di Austria minggu depan.

Bagaimanapun, berita mengenai perlawanan itu disambut dengan penuh kemarahan oleh kumpulan peminat yang dikenali sebagai Proud Hornets dan Women of Watford FC.

Kumpulan itu kecewa dengan keputusan berkenaan memandangkan Qatar mengecam homoseksualiti, hak asasi manusia dan hak wanita.

Qatar juga telah dikritik kerana layanannya terhadap pekerja asing yang membina stadium Piala Dunia 2022.



Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan malam tadi, Watford mengesahkan perlawanan persahabatan menentang Qatar tidak akan diteruskan.

"Perlawanan itu tidak pernah dimuktamadkan dan jelas sekali pertemuan ini tidak akan dilangsungkan, kami telah menyemak semula jadual," kata jurucakap kelab berkenaan.

Qatar akan menganjurkan pusingan akhir Piala Dunia dari 21 November hingga 18 Disember tahun ini.