Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, berkata barisanya dalam perebutan kejuaraan apabila mereka kembali menemui rentak kemenangan Liga Perdana Inggeris (EPL) menerusi kemenangan 5-1 ke atas Crystal Palace, awal pagi tadi.

Gabriel Jesus menyumbangkan dua gol awal walaupun tuan rumah sempat menyamakan kedudukan menerusi Ismaila Sarr, sebelum jaringan Kai Havertz, Gabriel Martinelli dan Declan Rice memastikan tiga mata buat The Gunners tabg mencatat kemenangan kedua mereka ke atas Palace dalam tempoh seminggu selepas turut menyingkirkan mereka dalam Piala Liga Inggeris (EFL), Khamis lalu.

Jaringan kedua Jesus itu sebenarnya adalah gol EPL ke-50 Arsenal menerusi sepakan sudut sejak Nicolas Jover menyertai kelab itu sebagai jurulatih bola mati pada 2021 -- jumlah tertinggi berbanding kelab semasa.

Malah, ini kali keenam pada sepanjang tahun ini mereka merekodkan lima gol atau lebih di tempat lawan.

Kemenangan itu melonjakkan Arsenal ke tangga ketiga liga dan hanya tiga mata di belakang Liverpool yang bermain kurang dua perlawanan, namun Arteta menegaskan anak buahnya akan terus mara dalam perebutan kejuaraan.

"Kami sememangnya mahukannya gelaran tetapi kami perlu menunjukkannya selama 10 bulan. Ia satu tuntutan yang luar biasa," katanya kepada Sky Sports.


"Kami dituntut untuk beraksi setiap tiga hari selama 12-13 minggu seperti ini, ia benar-benar gila. Kami cuba yang terbaik.

"Malangnya, kami kehilangan beberapa pemain hari ini. Ia berlaku kepada setiap pasukan. Kami pastinya mahu mencuba.

"Kempen kami belum lagi separuh jalan. Kami pastinya akan mencuba. Bagi kami, ia sudah bermula!"