Perlawanan akhir bola sepak lelaki kategori bawah 15 tahun Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2024 menyaksikan juara bertahan, Majlis Sukan Sekolah Johor melakar kebangkitan untuk mengatasi Majlis Sukan Sekolah Perak 2-1 di halaman sendiri.

Pasukan pelawat terlebih dahulu berada di depan menerusi rembatan cantik pemain sayap, Afief Dannish Mohd Faizal pada minit ke-21 di Stadium Mini Taman Ungku Tun Aminah.

Penyerang MSS Johor, Ahmad Afi Mirza Ahmad Salkin, menyamakan kedudukan sebelum menuju bilik persalinan dalam babak pertama hasil daripada tandukan kemas yang menewaskan penjaga gol MSS Perak, Mohammad Fariez Adrian Nazaruddin.


Kemenangan MSS Johor hadir pada minit ke-41 apabila Arayyan Hakeem Norizam memanfaatkan kesilapan benteng pertahanan lawan yang gagal mengeluarkan bola daripada kawasan berbahaya.

Tiada tambahan jaringan selepas itu, sekali gus mengesahkan kejuaraan menjadi milik MSS Johor buat tahun kedua berturut-turut.