'Tolong jangan bolos lagi', Itu rayuan berbentuk arahan dari Ketua Jurulatih PDRM, P. Maniam, selepas terus dibelenggu isu bolos dalam sembilan perlawanan terdahulu menjadikan jumlah keseluruhan 15 bolos setakat ini.

Maniam mengharapkan tuah beraksi di laman sendiri lebih memihak kepada pasukannya esok.

Selain mengharapkan keberkesanan barisan pertahanan PDRM mampu merealisasikan permintaannya untuk ‘sifar-bolos’.

"Bertemu Sabah, kami sering dibolosi, Kami perlu mempertingkatkan lagi daripada segi pertahanan," kata Maniam menerusi Nadi Arena.

"PDRM perlu memberikan tumpuan yang tinggi untuk perlawanan ini."

Sementara itu, kekalahan kepada Sri Pahang minggu lalu memberikan kesedaran ketara barisan pertahanan PDRM, perlu lebih berhati-hati dengan kelebihan situasi bola mati pihak lawan.

Ditambah pula aksi dengan Sabah yang memiliki barisan serangan yang seimbang, dilihat sebagai ancaman utama buat Sang Saka Biru.

"Kami perlu fokus untuk memastikan mengelak daripada dibolosi menerusi situasi bola mati," kata penyerang, Bruno Suzuki.