Pertahanan Brazil, Miranda, percaya bahawa pemain Belgium, Vincent Kompany, cuba menyembunyikan ketakutan di sebalik kenyataannya menjelang aksi suku akhir Piala Dunia.

Kompany sebelum ini menjelaskan pasukannya tidak terkesan apabila memikirkan kekuatan serangan Brazil sebelum pertemuan suku akhir di Kazan.

Miranda menganggap Kompany hanya cuba melakukan provokasi terhadap skuad kendalian Tite itu sambil menyeru kepada rakan sepasukannya untuk mempamerkan aksi terbaik berdepan Belgium.

"Kami sedar ia satu provokasi. Saya rasa itu adalah cara untuk menyembunyikan ketakutan anda," ujar Miranda.

"Bagi saya, itu salah satu cara untuk menunjukkan kepercayaan dan menyembunyikan ketakutan.

"Anda harus mempersiapkan diri anda, terutama apabila menentang skuad kebangsaan Brazil dan seorang ketua seperti Kompany harus menunjukkan keyakinan kepada rakan sepasukannya, sama seperti apa yang sering dilakukan oleh seorang pemain berpengalaman."

Tatkala Brazil dilihat sebagai pilihan untuk muncul juara edisi kali ini, mereka berdepan tugas getir untuk mengekang jentera serangan Belgium yang diketuai oleh Romelu Lukaku.

Bagaimanapun, Miranda berkata pasukan bimbingan Roberto Martinez itu harus dilihat secara berpasukan dan tidak hanya tertumpu kepada kelibat penggempur Manchester United berkenaan.

"Belgium bukan hanya Lukaku. Jelas sekali mereka adalah pasukan yang mempunyai kekuatan di bahagian serangan tetapi cara untuk menyekat lawan adalah sentiasa berwaspada dengan semua pemain di atas padang kerana rata-ratanya adalah pemain berkualiti.

"Mereka mempunyai skil hebat, memiliki ketinggian, jadi benteng kami perlu benar-benar bersedia untuk menyekat setiap serangan lawan."

Pemenang pertemuan di antara Brazil dan Belgium akan bertemu sama ada Perancis atau Uruguay dalam separuh akhir.