Pengurus Everton, Sam Allardyce, percaya bahawa pemain tengahnya, James McCarthy, akan kembali menyertai pasukan dalam aksi pra-musim setelah dia terlepas baki keseluruhan musim ini.

McCarthy kini dalam proses pemulihan selepas mengalami kecederaan patah kedua-dua kakinya ketika cuba bersaing dengan Salomon Rondon dalam aksi Liga Perdana Inggeris bertemu West Bromwich Albion, Januari lalu.

Pembedahan pantas terpaksa dilakukan buat pemain antarabangsa Ireland itu dan Allardyce menyifatkan proses pemulihan McCarthy kini bakal dijalankan di pusat latihan Everton.

"Segalanya terserah kepada pihak pakar. Mereka yang akan menentukan bila waktu untuk McCarthy melakukan apa-apa perkara," ujar Allardyce kepada laman web pasukan.

"Beberapa pakar akan membantu kami dalam melihat perkembangannya dan berbekalkan sedikit tuah, kami akan dapat melihat McCarthy kembali menyertai skuad ketika aksi pra-musim nanti.

"Dia telah berehat di rumah sebelum ini. Kini, kemungkinan besar dia akan mula menyertai semula sesi latihan tetapi ia dimulakan dengan pergerakan asas kepada buku lalinya terlebih dahulu kerana telah terbiar terlalu lama," ujarnya.

Everton bakal bertandang ke Turf Moor untuk berdepan Burnley esok dan kemenangan pastinya menjadi sasaran Allardyce dalam usaha memperbaiki kedudukan dalam liga.