Prestasi Luis Suarez bersama Gremio membuktikan dia tidak akan berdepan kesukaran menyesuaikan diri dengan Major League Soccer jika menyertai Inter Miami, kata bekas pertahanan Los Angeles FC, Giorgio Chiellini.

Suarez dilaporkan dalam perbincangan bersama Miami untuk berhijrah ke Amerika Syarikat untuk kembali bergandingan bersama bekas rakan sepasukan di Barcelona, Lionel Messi, Jordi Alba dan Sergio Busquets.

Pemain kebangsaan Uruguay itu semakin hampir untuk menandatangani kontrak setahun bersama kelab MLS itu selepas menikmati musim 2023 bersama Gremio, yang menamatkan saingan di tempat kedua di belakang Palmeiras.

Suarez menjaringkan 17 gol dalam saingan liga buat Gremio, termasuk melakukan 11 bantuan jaringan menyaksikan dirinya sebagai pemain paling banyak terlibat dalam jaringan dalam saingan tersebut (28).

Penyerang itu bakal mencecah 37 tahun Januari ini, meledak 27 gol dalam semua pertandingan sebelum bergelar ejen bebas, dan pemain yang baru sahaja mengumumkan persaraan, Chiellini, berkata Suarez mampu menyinar di MLS.

"Anda lihat apa yang Suarez lakukan tahun ini di Brazil... Saingan di Brazil tidak dianggap sebagai liga yang lemah," kata Chiellini, yang terkenal digigit Suarez pada Piala Dunia 2014, menerusi Stats Perform.

"Suarez menjaringkan hampir 30 gol, kami masih melihat sesuatu di sana dan ia masih sangat bagus. Kini bola sepak berubah di seluruh dunia.

"Terdapat kurang perbezaan antara beberapa liga di Eropah dan negara lain. Satu-satunya liga yang sangat berbeza daripada yang lain, saya fikir, ialah Liga Perdana.

"Tetapi sejujurnya, yang lain boleh kita bandingkan, dan anda juga boleh mencari pemain yang bagus dalam beberapa liga pelik yang beberapa tahun lalu anda tidak pernah pertimbangkan. Sekarang ia sangat berbeza."

A post shared by Luis Suárez (@luissuarez9)