Luis Suarez mengangkat Lionel Messi sebagai pemain terbaik di dunia selepas bekas rakan sepasukannya di Barcelona itu membantu Argentina layak ke final Piala Dunia 2022.

Messi membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti pada minit ke-34 dan mencipta dua gerakan gol buat Julian Alvarez pada minit ke-39 dan 69 bagi melengkapkan kemenangan bergaya 3-0 ke atas Croatia, awal pagi tadi.

Pemilik tujuh Ballon d'Or itu kini berpeluang meraih gelaran Piala Dunia pertamanya sejak Diego Maradona membawa Argentina meniti kegemilangan pada 1986, manakala Messi pernah menjadi naib juara edisi 2014 ketika diketepikan Jerman 0-1 di Rio de Janeiro.

“Anda tidak pernah jemu menunjukkan bahawa anda adalah yang terbaik di dunia,” ucap Suarez, yang menghabiskan enam tahun di samping Messi di Barcelona dari 2014 hingga 2020, di Instagram.



"Seluruh dunia berhenti untuk memberikan tepukan kepada lelaki ini dan apa yang dia berikan kepada bola sepak. Luar biasa sahabat saya!"

Pemain tengah Croatia, Luka Modric -- yang merupakan musuh lama Messi ketika mewakili Real Madrid dalam La Liga -- turut mengakui bahawa pemain Argentina itu memang layak menjulang Piala Dunia.

“Mudah-mudahan (Messi) memenangi Piala Dunia ini, dia adalah pemain terbaik dalam sejarah dan dia berhak meraihnya,” kata Modric kepada pemberita selepas perlawanan.

Argentina akan menghadapi perlawanan akhir di Stadium Al Bayt, Ahad ini, dan perlu menunggu pemenang di antara Maghribi dan Perancis yang bertemu dalam satu pertembungan separuh akhir, awal pagi esok.