KUCHING CITY 1 TERENGGANU 1

Yuki Tanigawa menafikan hasrat Terengganu untuk meraih tiga mata apabila jaringannya memastikan Kuching City bangkit mengikat kedudukan 1-1 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Negeri Sarawak sebentar tadi.

Perlawanan padat aksi itu, bagaimanapun, tamat tanpa jaringan dalam 45 minit pertama, di mana kedua-dua pasukan kelihatan bergelut di depan gawang.

Hujan yang membasahi sepanjang babak kedua langsung tidak dapat meredakan suhu panas di atas padang dan Terengganu akhirnya memecahkan kebuntuan menerusi sepakan penalti.

Susulan insiden Rodney Celvin Akwensivie menjatuhkan Ismahil Akinade, semakan video bantuan pengadil (VAR) memberikan sepakan penalti buat pelawat dan ketua pasukan, Safawi Rasid, tidak mensia-siakan peluang itu untuk meletakkan Terengganu di depan pada minit ke-50.

Kuching kemudian melakukan asakan bertali arus ke gawang Terengganu tetapi dikecewakan dengan palang dan tiang gol biarpun beberapa kali berada dalam situasi terbaik.

Ketika Terengganu kelihatan akan membawa pulang tiga mata penuh, Yuki bertindak bijak menolak bola ke dalam gawang Terengganu dalam satu situasi kelam-kabut pada minit ke-80.

Biarpun pengadil, Amirul Izwan, mengambil masa yang panjang untuk melakukan semakan VAR, jaringan itu akhirnya disahkan, sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan perlu berpuas hati dengan satu mata.